pinky

Friday 9 December 2011

SyUkUr Ya ALLaH..



 Al-Imam Ibn al-Jawzi dalam kitabnya Minhaj al-Qasidin menerangkan tentang cara-cara bersyukur, antaranya;
i. Syukur lisan dengan melafazkan hamdalah (alhamdulillah).
ii. Syukur hati dengan reda kepada Allah SWT atas apa yang diberi dan apa yang diambil kembali.
iii. Syukur amalan dengan cara melakukan ibadat dan meninggalkan maksiat.
Tiga perkara ini nampak mudah untuk diamalkan. Tetapi bagaimanakah dengan realiti sebenar jika kita berhadapan dengan pelbagai masalah dalam kehidupan? Untuk itu ambillah pengajaran daripada orang-orang yang soleh bagaimana cara mereka menterjemahkan syukur kepada Allah. Berikut ini diperturunkan  catatan mengenai suri tauladan berkenaan.

1. Syukur kerana anugerah Iman dan Islam.

Peristiwa ini berlaku pada saat pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) selepas selesai Peperangan Hunain. Peperangan ini terjadi selepas pembukaan kota suci Makkah.
Sahih al-Bukhari merekodkan daripada Anas bin Malik RA beliau berkata: Rasulullah SAW membahagi-bahagikan harta kepada orang-orang Muhajirin sebanyak seratus ekor unta setiap seorang, dan baginda tidak membahagikannya untuk orang-orang Ansar. Berkata sebahagian orang-orang Ansar: “Sesungguhnya Rasulullah SAW hanya memberi kepada orang-orang Quraisy, sedangkan kami tidak diberi, padahal pedang-pedang kami masih berlumuran darah. Mudah-mudahan Allah mengampuni kekeliruan baginda SAW.” Cakap-cakap mereka ini akhirnya terdengar oleh Nabi SAW. Bagindapun memanggil semua orang Ansar. Baginda bersabda: “Wahai orang-orang Ansar! Bukankah kamu telah mempercayai aku ketika orang-orang lain mendustakan aku? Bukankah kamu telah melindungi aku ketika orang-orang lain menghalau aku? Dan bukankah kamu telah membela aku ketika orang-orang menghinakan aku?“ Mereka serentak menjawab dengan berlinangan air mata: “Untuk Allah dan Rasul-Nya anugerah itu.“ Kemudian Rasulullah meninggikan kalimahnya: “Bukankah dahulu aku dapati kamu dalam kesesatan lalu Allah memberi hidayah kepada kamu dengan kedatangan aku? Bukankah dahulu aku dapati kamu dalam keadaan fakir lalu Allah SWT memberikan kecukupan kepada kamu dengan kedatangan aku? Bukankah dahulu kamu dalam keadaan bermusuhan lalu Allah menyatukan hati kamu dengan kedatangan aku?“ Kata-kata itu begitu menusuk ke hati mereka. Mereka bertambah sedih mendengar pertanyaan Rasulullah SAW yang bertalu-talu. Dalam esakan dan tangisan mereka menjawab: “Benar wahai Rasulullah.” Kemudian Nabi SAW meninggikan lagi suaranya: “Wahai orang-orang Ansar! Tidak relakah kamu jika orang-orang Muhajirin itu pergi dengan membawa unta sedangkan kamu pergi dengan membawa Rasulullah? Demi Allah, kepergian kamu membawa Rasulullah adalah lebih baik dari kepergian mereka membawa unta itu. Sesungguhnya kamu telah mendapat inti sedangkan mereka mendapat kulit luarnya sahaja. Demi Allah, seandainya aku harus melalui suatu jalan, sesungguhnya akan aku lalui jalan yang kamu lalui. Mudah-mudahan Allah mengampuni dan merahmati kamu, wahai orang-orang Ansar beserta anak-anak dan cucu-cucu kamu.” Mendengar kesungguhan Rasulullah SAW menyatakan isi hati baginda yang begitu tulus, mereka semua bertangisan dan menjawab berulang-ulang: “Kami rela Allah sebagai Tuhan kami dan Muhammad sebagai Nabi kami!
Begitulah kesyukuran yang ditunjukkan. Ia mengalir dari hati yang jernih, menenangkan seluruh jasad dan menundukkan pemikiran logik di bawah kuasa hati yang reda. Sesungguhnya nikmat yang paling besar ialah Iman dan Islam yang dilimpahkan ke dalam hati manusia.

2. Syukur kerana nikmat harta.
Pembukaan istana Kisra Parsi, Iwan Putih yang bertatahkan emas permata oleh Panglima Tentera Mukmin dan bala tenteranya yang saleh turut mengajar erti kesyukuran. Beliau ialah panglima yang gagah lagi berani, Saidina Saad bin Abi Waqqash RA.
Setelah berjaya memasuki Istana Kisra, beliau lantas mengagungkan Allah SWT dengan sebaik-baik laungan: “Allahu Akbar!”. Ketika melihat kilauan gemerlapan emas dan permata yang menghiasi istana itu, ingatannya terus menerpa kepada firman Allah yang terus dialunkannya dengan suara yang penuh kekhusyukkan dan tangisan tanda kesyukuran. Ayat itu bermaksud: “Alangkah banyaknya taman-taman dan mata air yang mereka tinggalkan, dan kebun-kebun serta tempat yang indah-indah, dan keseronokan-keseronokan yang mereka nikmati. Demikianlah kami wariskan semua itu kepada kaum yang lain. Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka dan merekapun tidak diberi tangguh. (Surah Al-Dukhan: Ayat 25-29)
Ayat ini begitu menyentuh jiwa, mengingatkan kita tentang nikmat harta yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya. Tetapi adakah kita memiliki perasaan sama seperti Saidina Saad atau mungkinkah kita sama seperti mantan penghuni Istana Kisra itu? Kedua-duanya mempunyai persepsi berlainan tentang anugerah harta. Harta yang berkat memiliki ciri-cirinya yang tersendiri, iaitu;
i. Apabila diperoleh ia dapat membuat kita bersyukur.
ii. Apabila diambil ia menjadikan kita hamba yang reda.
iii. Ia tidak melalaikan dari mengingati Allah.
iv. Ia bukan menjadi alat untuk bermaksiat tetapi menjadi wasilah untuk beribadat.

3. Syukur kerana nikmat sihat.
Al-Imam al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu olehnya iaitu, nikmat sihat dan masa lapang.” Kisah yang dipaparkan ini dipetik daripada buku Ihfazilllah Yahfazuka karya Dr ‘Aidh al-Qarni.
Suatu hari seorang lelaki miskin mengeluh: “Ya Allah! Engkau telah membuatku miskin sedangkan Engkau membuat si polan kaya.” Lalu iapun tertidur dalam keadaan bersedih. Lelaki itu bermimpi bertemu dengan orang soleh yang berkata kepadanya: “Wahai si polan, mahukah kamu menjual penglihatanmu kepadaku dengan harga seratus ribu dinar? Jawabnya: “Tidak.” Lelaki itu bertanya lagi: “Mahukah kamu menjual kepadaku pendengaranmu, kaki dan tanganmu masing-masing seharga seratus ribu dinar?” Maka iapun menghitung-hitung harga yang disebutkan tadi. Lelaki itu berkata: “Maha suci Allah Sesungguhnya kamu memiliki ratusan ribu dinar tetapi kamu tidak mensyukurinya dan kamu masih mengharapkan semoga Allah memberi rezeki kepadamu lagi? Maka diapun tersedar dari tidurnya sambil menangis dan berkata: “Bagimu segala puji wahai Tuhanku.”
Bersyukur dengan nikmat sihat cukup membuat kita kaya raya sementara orang yang sakit hanya dicengkam ketakutan dengan soalan ‘siapa yang akan mewarisi hartanya itu?’.
Kita semua dijadikan sebagai makhluk yang miskin, lalai dan tidak memahami sesuatu pun tetapi Allah menganugerahkan kita dengan harta, ilmu dan iman. Belum cukupkah itu semua untuk menjadikan kita hamba-Nya yang bersyukur? Hitunglah nikmat Allah pada setiap tarikan nafas dan hembuskannya dengan syukur yang tak terhingga. Ingatlah ketika Rasulullah SAW bangun sembahyang pada waktu malam hingga bengkak kedua kaki baginda, padahal syurga berada di genggamannya dan kedudukan kekasih Allah menjadi sebutan baginya, namun tiada kalimah seindah sabda baginda SAW yang bermaksud: “Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur kepada Tuhanku?”

No comments: